Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
UtusanPerak@utusan.com.my
BAGAN SERAI 1 Nov. – Beberapa kemudahan sepanjang Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar yang diterajui kontraktor utama, MMC-Gamuda JV Sdn. Bhd. (MMC-Gamuda) di negeri ini sudah lebih 70 peratus siap.
Pengarah Projek PLBE, Yeoh Hin Kok berkata, antaranya ialah jejambat di Bukit Merah dekat sini yang siap sebanyak 95 peratus.
”Selain itu 70 peratus daripada terowong berkembar Berapit sepanjang 3.3 kilometer yang merupakan terowong keretapi terpanjang di Asia Tenggara telah siap.
”Kerja-kerja fizikal pembinaan terowong Larut pula siap sebanyak 85 peratus dan sedang menunggu untuk memulakan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal,” katanya ketika memberi taklimat kepada media sempena lawatan ke tapak projek PLBE di sini semalam.
Dalam lawatan tersebut yang turut disertai Ketua Pengurusan Projek, Maslan Othman, pemberita dibawa melalui terowong berkembar Berapit, terowong Larut dan jejambat Bukit Merah.
Menurut Hin Kok, kerja-kerja pembinaan jambatan berbuai yang menggunakan sistem hidraulik-elektro di Prai, Pulau Pinang pula telah siap 36 peratus.
”Secara keseluruhannya, kerja-kerja fizikal PLBE kini sudah siap sebanyak 57 peratus dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk siap pada Disember 2013 tanpa kos tambahan.
”Kerja-kerja sistem, rawatan tanah, kerja utiliti seperti memindah saluran gas, paip air, kabel elektrik dan sebagainya serta kerja-kerja perparitan sudah dimulakan di semua tapak kerja,” ujarnya.
Projek PLBE sejauh 329 kilometer bernilai RM12.485 bilion merupakan projek infrastruktur terbesar negara melibatkan pembinaan landasan kereta api berkembar elektrik merentasi empat buah negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Ia adalah kesinambungan kepada PLBE menghubungkan Rawang di Selangor dan Ipoh, Perak yang siap pada 31 Disember 2007. -UTUSAN-
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm