APABILA kerajaan memutuskan pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar, ia bukan sekadar usaha menyediakan satu kemudahan pengangkutan serba moden untuk rakyat.
Kesan daripada projek yang dilaksanakan oleh MMC-Gamuda Joint Venture (MGJV) itu sebenar lebih jauh daripada sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik.
Ia memberikan kesan ekonomi yang agak besar kepada negeri-negeri di utara tanah air terutama daripada segi peluang pekerjaan.
Dengan adanya projek ini, kontraktor tempatan di empat negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis turut terbabit dalam kerja-kerja seperti kerja tanah, pembinaan struktur, sistem komunikasi dan membekalkan bahan binaan.
Kesan berganda daripada pakej kerja dan pekerjaan yang ditawarkan PLBE mampu menjana aktiviti ekonomi hiliran bernilai RM25 bilion.
Ini menjadikan PLBE bukan sekadar projek pembinaan landasan kereta api serba moden, tetapi turut menjana peluang ekonomi baru kepada penduduk setempat.
Lagi pula kerja-kerja pembinaan landasan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berjalan serentak. Maknanya, kesan ekonominya dapat dirasai secara langsung dan bukannya secara berperingkat-peringkat.
Secara keseluruhannya sebanyak 600 pakej kerja ditawarkan kepada subkontraktor dan pembekal setakat ini.
Para subkontraktor dan pembekal itu pula sudah pasti akan memerlukan ramai pekerja bagi memenuhi keperluan mereka.
Kesan berganda daripada projek itu amat besar malah ia boleh dikatakan membabitkan pusingan wang terbesar membabitkan empat negeri terbabit.
Jumlah 600 pakej kerja yang ditawarkan itu merupakan 95 peratus daripada keseluruhan kerja yang terdapat dalam projek itu.
Projek PLBE turut membabitkan penyertaan bumiputera secara meluas dengan 360 dari keseluruhan pakej kerja ditawarkan kepada mereka.
Malah 190 daripada 353 pembekal atau kira-kira 53 peratus adalah pembekal bumiputera.
Projek tersebut turut mengupah 190 subkontraktor bumiputera dari Kelas A hingga Kelas F. Mereka menerima 380 pakej kerja.
Pakej kerja yang ditawarkan kepada mereka bernilai antara RM1 juta hingga RM1 bilion.
Sehingga kini, jumlah kontrak yang ditawarkan bernilai RM4.4 bilion.
Namun, setiap kontrak terbabit tidak dianugerahkan secara sembarangan.
Pemilihan subkontraktor dan pembekal dilakukan secara ketat berdasarkan merit, pengalaman dan keupayaan mereka.
Ini bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberikan pakej kerja bagi menjayakan projek PLBE. -UTUSAN-
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm