LUMUT 9 Julai – Kerajaan pusat akan mengumumkan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi kira-kira 643 keluarga setinggan yang menduduki tanah rizab kereta api di Kuala Sepetang, Taiping tidak lama lagi, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
“Mereka (setinggan) akan menerima berita gembira berkenaan daripada pihak kerajaan pusat dalam masa terdekat ini… perkhabaran yang dinanti-nantikan sejak puluhan tahun itu secara tidak rasmi telah pun dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada saya baru-baru ini,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci bagi Fasa 1 dan 2 Pangsapuri Bukit Permata di sini hari ini, Zambry berkata, keluarga yang menduduki tanah seluas 94.5 hektar antara Taiping dan Kuala Sepetang itu diminta bersabar menunggu berita gembira berkenaan.
Januari lalu, Kerajaan Negeri Perak telah memohon supaya Perbadanan Aset Kereta Api (PAK) mempertimbangkan semula kadar RM38 juta bagi melepaskan hak milik tanah rizab kereta api itu kepada kerajaan negeri.
PAK selaku pentadbir tanah berkenaan diminta membuat pertimbangan untuk kemungkinan menyerahkan terus tanah yang tidak lagi digunakan untuk tujuan operasi kereta api sejak 1941 itu kepada kerajaan negeri tanpa dikenakan apa-apa bayaran. – Bernama
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm