KUALA LUMPUR 28 Jun – Kerajaan menafikan dakwaan bahawa Malaysia telah menjual tanah stesen kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar di Singapura kepada republik itu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot sebaliknya berkata, tanah KTMB di Singapura itu dipajak oleh Kerajaan Negeri Selat kepada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk tujuan perkhidmatan rel pada 25 Oktober 1918.
“Tanah Singapore Railway yang dipajak adalah seluas 173.7 hektar. Daripada jumlah tersebut, 141 hektar dipegang oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi tempoh 999 tahun manakala 32.7 hektar adalah bagi tempoh pajakan selama-lamanya.
“Sekiranya tidak lagi digunakan untuk tujuan perkhidmatan rel, tanah itu akan dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Selat (Singapura) tanpa sebarang pampasan.
“Jadi dakwaan kerajaan menjual tanah milik KTMB di Tanjung Pagar itu adalah tidak benar kerana ia bukan hak kita,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) iaitu bagaimana Malaysia boleh kehilangan tanah tersebut walaupun negara mempunyai pelbagai pendekatan dalam menyelesaikan isu-isu tertunggak dengan negara-negara ASEAN.
Sebelum ini, isu mengenai tanah itu telah dibincangkan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Singapura dari 22 hingga 24 Mei lalu dan semasa Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong datang ke Malaysia bulan lepas.
Perdana Menteri dijangka mengadakan lawatan kerja ke Singapura dalam tempoh tiga bulan lagi untuk memuktamadkan keputusan pertukaran tanah itu.
(sumber: http://www.utusan.com.my)
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm