Isu dengan Brunei selesai, Singapura belum

dewan negara

KUALA LUMPUR 28 Julai – Isu penyerahan Blok L dan M kepada Brunei dianggap telah selesai sementara Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) dengan Singapura masih belum selesai.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, melalui Pertukaran Surat (Exchange of Letters) pada 16 Mac 2009, persempadanan maritim, Kawasan Aturan Komersial, persempadanan darat dan akses maritim dengan Brunei telah diselesaikan.

“Pertukaran Surat itu juga telah menetapkan sempadan laut wilayah, pelantar benua dan zon ekonomi eksklusif di antara kedua-dua negara yang bersifat kekal serta meletakkan blok cari gali minyak L dan M di dalam kawasan maritim Brunei.

“Walaupun Brunei kini mempunyai hak kedaulatan terhadap sumber hidupan dan bukan hidupan di blok-blok tersebut, jiran kita itu akan berkongsi hasil dari kawasan tersebut dengan Malaysia melalui satu Aturan Komersial.

“Namun, isu POA dengan Singapura masih belum selesai sepenuhnya dan Malaysia masih lagi menjalankan kajian bagi memuktamadkan opsyen penukaran tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, tanah di Kranji dan Woodlands serta tiga bidang tanah tambahan di Bukit Timah (tanah 3+3) dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui jawapan bertulis kepada soalan Senator Datuk Akbar Ali yang meminta dijelaskan kedudukan sebenar penyerahan Blok L dan M kepada Brunei serta isu lain yang belum selesai berhubung tanah KTMB di Singapura pada sidang Dewan Negara hari ini. -Utusan-

 
Total Visitor : 25423