PUTRAJAYA: Kabinet meluluskan cadangan Perbadanan Aset Kereta api (PAK) untuk melepaskan hak milik tanah rizab keretapi seluan 94.5 hektar antara Taiping dan Kuala Sepetang di Perak kepada kerajaan negeri itu pada harga RM38 juta.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata keputusan itu dicapai minggu lalu bagi menunaikan janji kerajaan kepada penduduk Taiping pada Pilihanraya Kecil Perlimen Bukit Gantang, April lalu.
Katanya, pelepasan tanah rizab keretapi itu adalah selaras dengan peruntukan Fasal(3) Perkara 85 Perlembagaan Persekutuan, kerana tanah berkenaan tidak lagi digunakan untuk tujuan operasi kereta api sejak 1941.
“Kerajaan Persekutuan melalui PAK bersetuju mengadakan perbincangan dengan kerajaan Perak bagi membela nasib keluarga setinggan yang mendiami kawasan itu sejak bertahun-tahun,”katanya, semalam.
“Hasil perbincangan itu semua pihak bersetuju untuk membawa perkara berkenaan kepada perhatian Kabinet untuk keputusan,” katanya kepada media di sini, semalam.
Mengulas mengenai tempoh yang lama untuk menyelesaikan isu itu, Ong berkatam ia membabitkan hak PAK terhadap tanah rizab itu dan usaha mendapatkan tanah ganti juga perlu dilakukan terlebih dulu sebelum ia dilepaskan menerusi bayaran.
“Keputusan untuk menjual tanah itu dibuat selepas usaha penggantian tapak gagal dilaksanakan dan berikutan itu kerajaan Perak mengesyorkan untuk memiliki hak milik tanah rizab itu dengan bayaran sebanyak RM38 juta,”katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar pelepasan tanah itu berkuatkuasa kerana ia membabitkan pelbagai prosedur.
Katanya, menerusi pelepasan tanah itu, kerajaan Petak bukan saja dapat mengatasi masalah perumahan rakyatnya tetapi juga dapat membangun dan memelihara satu daripada tapak bersejarah di negeri itu.
Difahamkan kawasan itu adalah lokasi landasan keretapi pertama di Tanah Melayu yang beroperasi mulai 1 Jun 1885 menghubungkan Taiping dan Kuala Sepetang.
Pembinaan landasan yang bermula pada 1882 bertujuan menghubungkan kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan berhampiran iaitu Kuala Sepetang yang dulunya dikenali sebagai Port Weld.
Sumber: Berita Harian
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm