Kaji kereta api Seremban-Port Dickson

NS

SEREMBAN 24 Mei – Nasib laluan kereta api dari Seremban ke Port Dickson yang dicadang dibuka semula untuk tujuan pelancongan akan diketahui selepas Kementerian Pelancongan selesai membuat kajian mengenainya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, tempoh kajian itu akan mengambil masa untuk melihat rasional pembukaan semula laluan itu yang ditutup Julai 2008 yang sebelum ini digunakan untuk mengangkut minyak dan penumpang.

“Kita akan dapatkan maklum balas pelbagai pihak dan potensinya untuk tarikan pelancong ke pantai peranginan Port Dickson,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Stesen Komuter Sungai Gadut yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan.

Tambah Cho Ha, cadangan kerajaan negeri untuk menghidupkan laluan itu dianggap baik dan akan diperhalusi kementeriannya.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar laluan itu dibuka semula untuk dijadikan laluan pelancongan yang dilihat mampu meningkatkan sektor berkenaan dengan lebih agresif.

Laluan kereta api itu mula dibina pada 1891 sejauh 39 kilometer dan ditutup kerana keadaan laluan yang dilaporkan tidak selamat, selain memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih.

Dalam perkembangan lain, Cho Ha berkata, KTMB bakal menerima 38 set komuter baru dan kesemuanya dijangka tiba menjelang Ogos tahun ini secara berperingkat.

Jelasnya, dengan adanya pertambahan set komuter itu nanti, sistem komuter berkenaan dapat memberi perkhidmatan kepada pengguna setiap 7.5 minit pada waktu puncak berbanding 30 minit sebelum ini.

“Kita menjangkakan penumpang komuter nanti akan mencapai sasaran seramai 100,000 orang setiap hari berbanding anggaran 33,000 orang ketika ini,” katanya.

(sumber: www.utusan.com.my)

 
Total Visitor : 25423