ALOR SETAR 14 Julai – Kementerian Pengangkutan yakin urusan pengambilalihan tanah, bangunan komersial serta rumah kediaman yang terlibat dalam laluan Projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar akan dapat diselesaikan secepat mungkin.
Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, daripada 1,300 bangunan yang merangkumi bangunan komersial, rumah ibadat dan rumah kediaman, hanya kira-kira 16 bangunan komersial dan kediaman yang masih belum selesai urusan pengambilalihan tersebut.
“Ada antara pemilik bangunan komersial seperti di Kedah dan Pulau Pinang tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan oleh pihak kami.
“Namun saya yakin masalah ini akan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat setelah perbincangan dengan pemilik bangunan komersial dan rumah kediaman dilakukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau perkembangan pembinaan jejambat Rail Over Bridge di Jalan Teluk Wanjah dan kerja-kerja track diversion di Anak Bukit di sini hari ini.
Projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar yang melibatkan empat negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu dimulakan pada 2008 dan dijangka siap pada 2013.
“Apabila siap kelak, masa perjalanan penumpang akan dapat dijimatkan iaitu perjalanan dari Ipoh ke Padang Besar hanya memakan masa 3 jam berbanding 7 jam.-Utusan-
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm