Ketawalah lagi…

senyum

AWANG tertarik dengan ucapan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak pada Perhimpunan Khas dan Kempen Amalan Senyuman Perbendaharaan, baru-baru ini.

Dalam memperkatakan soal hala tuju dan cabaran ekonomi, beliau menyentuh sedikit tentang pentingnya kita banyak ketawa.

Menurut Najib, kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi apabila seseorang ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.

‘‘Jadi lepas ini, banyak-banyaklah ketawa,’’ kata Perdana Menteri disambut dengan gelak ketawa para hadirin. Awang senyum sendiri. Memang apa yang dikatakan oleh Najib tidak dapat dinafikan. Senyuman dan ketawa juga punya ‘kuasa’ atau terapi untuk diri. Dalam filem Anger Management lakonan Adam Sandler, digambarkan stres boleh ditangani dengan baik menerusi kawalan diri termasuk melalui senyuman dan ketawa.

Awang perhatikan, sebahagian daripada kita susah untuk senyum. Kalau ada pun seakan-akan memaksa diri. Nilai keramahan dan kesopanan yang menjadi kekuatan masyarakat kita pada dekad-dekad terdahulu kian terhakis. Kita memerlukan kempen untuk melemparkan senyuman.

Begitu juga dengan ketawa. Kita lebih suka mentertawakan (memperlekehkan) orang lain daripada bersama-sama ketawa untuk menceriakan suasana. Awang juga perhatikan semakin ramai memilih untuk menjadi peribadi yang terlalu serius. Hendak dengar ketawa setahun sekali pun susah. Lalu Awang teringat lagu lama dendangan penyanyi veteran J. Sham berjudul Resam Dunia. Pada korus lagu yang diulang, berbunyi; ‘‘ah ha ha hai, ah ha ha hai, ketawalah lagi…’’

Sekadar bertanya, bilakah kali terakhir kita ketawa?

Bisik-Bisik Mingguan awang selamat

(sumber: http://www.utusan.com.my)

 
Total Visitor : 25423