SINGAPURA 25 Mei – Perasaan kakitangan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar dan Bukit Timah semakin sayu menjelang penyerahan kedua-dua stesen itu kepada kerajaan republik ini pada 1 Julai depan.
Paling merasainya sudah tentu ketua di kedua-dua stesen tersebut apabila kereta api terakhir akan bertolak pada pukul 11 malam 30 Jun ini dari Stesen Tanjung Pagar, membawa pergi segala apa yang dapat dipindahkan dan meninggalkan hanya kenangan.
Ketua Stesen Bukit Timah, Atan Ahmad, 46, berkata, dia ditugaskan di stesen tersebut sejak 1998 dan banyak memori dalam menguruskan stesen separa elektrik dengan tiga landasan tersebut.
“Penduduk yang tinggal berdekatan dengan stesen ada datang menemui saya sebaik sahaja berita stesen ini akan ditutup dan memberitahu yang mereka akan merindui pemandangan gerabak kereta api melalui kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di stesen tersebut dalam lawatan Eksplorasi Media KTMB Singapura, di sini hari ini.
Lawatan khas itu membawa kira-kira 40 pemberita ke Stesen KTMB Tanjung Pagar dan Bukit Timah serta depot kereta api dengan menggunakan troli yang biasanya digunakan untuk pemeriksaan landasan, penyelenggaraan dan pelbagai tujuan lain.
Berkuat kuasa 1 Julai, perkhidmatan kereta api ke stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah akan ditamatkan dengan KTMB mengakhiri perkhidmatan kereta api ke republik ini di Woodlands Train Checkpoint (WTCP).
Sementara itu, Ketua Stesen Tanjung Pagar, Shamsul Bahri Sahri, 43, mengakui cukup sayu menjelang tarikh 1 Julai yang tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi.
Menurutnya, ini kerana dia akan meninggalkan stesen tersebut selepas 15 tahun berkhidmat di sini dan akan menggalas tugas baru sebagai pengawal trafik koc di Kuala Lumpur.
“Saya bukan jenis yang mudah menangis, tetapi apabila tumpah air mata saya menggambarkan betapa dalamnya kenangan dan nilai sentimental di sini,” katanya.
Dia berharap kerajaan Singapura menunaikan janji untuk mengekalkan bangunan stesen kereta api Tanjung Pagar sebagai tapak warisan.
Pengurus KTMB Wilayah Tenggara, Tariq Umar Mohamed berkata, kereta api terakhir akan bertolak pada 11 malam dengan membawa 90 kakitangan KTMB yang bertugas di sini.
(sumber: www.utusan.com.my)
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm