KL-Singapura setuju selesai

PUTRAJAYA 22 Jun – Malaysia dan Singapura hari ini mencapai kata sepakat untuk memuktamadkan tawaran pertukaran tanah membabitkan pelaksanaan Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) di republik itu dalam tempoh tiga bulan lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan meneliti secara terperinci tawaran spesifik yang dikemukakan oleh Singapura dalam mesyuarat dua hala hari ini sebelum keputusan muktamad dibuat dalam tempoh tersebut.

Dalam mesyuarat yang disifatkan produktif dan mesra itu, beliau berkata, kedua-dua negara turut bersetuju menurunkan kadar tol di Lebuh Raya Laluan Kedua sebanyak 30 peratus berkuat kuasa 1 Ogos ini.

”Saya ingin mengalu-alukan kunjungan delegasi Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan delegasinya ke Putrajaya dan seperti yang anda sedar dalam pemukiman kedua-dua negara di Singapura pada 24 Mei lalu, kita bersetuju untuk melangkah ke hadapan membabitkan isu-isu POA.

”Hari ini kita membuat susulan hasil perbincangan dan persefahaman yang dicapai pada bulan lalu di Singapura dan Perdana Menteri, Hsien Loong membawa cadangan tawaran yang spesifik mengenai pertukaran tanah yang akan dipertimbangkan oleh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama selepas mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya itu di sini hari ini.

Hsien Loong melakukan lawatan kerja seharinya ke negara ini bersama 16 anggota delegasinya termasuk Menteri Luar Singapura, George Yong-Boon Yeo; Menteri Pembangunan Negara, Mah Bow Tan dan Menteri Undang-Undang, K. Shanmugam yang juga Menteri Kedua Dalam Negeri.

Delegasi Malaysia pula antaranya melibatkan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Terdahulu, Najib dan Hsien Loong mengadakan pertemuan empat mata kira-kira 45 minit sebelum memulakan mesyuarat.

Mesyuarat dua hala itu bagaimanapun tidak menyentuh beberapa isu tertangguh yang lain termasuk pembinaan jambatan kedua, ruang udara, Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) dan perjanjian harga air.

Menjawab soalan pemberita, Perdana Menteri berkata, kedudukan Malaysia sekarang ialah untuk meneliti pertukaran tanah iaitu di Marina South dan Ophor Rochir dengan maklumat lanjut yang akan dipertimbangkan.

”Dari segi konsep pembangunan bersama masih dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, Hsien Loong berkata, pihaknya telah menyediakan beberapa bentuk cadangan dalam tawaran pertukaran tanah tersebut dan terpulang kepada Najib untuk membuat pilihan.

”Beliau (Najib) ada melontar beberapa isu yang mana ia sedang kita bincangkan dan kedua-dua belah pihak mahu ia diselesaikan dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Mengenai isu-isu tertangguh yang lain, beliau memberitahu, ia akan diselesaikan secara progresif satu demi satu dengan pada masa ini perbincangan ditumpukan kepada isu-isu membabitkan POA termasuk melibatkan beberapa aspek mengenai Tanjung Pagar.

”Saya gembira berada di sini untuk membuat susulan tentang hasil perbincangan pemukiman yang berjaya sebulan lalu dan saya telah membawa tawaran mengenai isu pertukaran tanah iaitu satu-satunya isu yang tertangguh dalam POA.

”Singapura akan menerima ulasan dari Malaysia dan ia dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan iaitu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana ia merupakan masa yang terbaik untuk memuktamadkan isu tersebut,” katanya.-Utusan-

 
Total Visitor : 25424