Landasan berkembar elektrik 60 peratus siap

PLBE

BUKIT MERTAJAM 8 Dis. – Kerajaan yakin Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar yang menelan kos RM12.5 bilon akan siap mengikut jadual pada tahun 2013 walaupun menghadapi sedikit kelewatan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sehingga November lalu, kerja-kerja pembinaan di empat negeri terlibat iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis kini mencapai 60 peratus.

Menurutnya, kelewatan itu berpunca masalah pengambilan tanah di sepanjang jajaran projek serta proses pembayaran pampasan kepada penduduk serta pihak yang terlibat.

“Pembinaan projek pada peringkat awal melibatkan pengambilan tanah, pemindahan setinggan, pengagihan utiliti sedia ada yang terlibat dalam jajaran projek dan kerja-kerja tanah.

“Proses pengambilan tanah di sepanjang jajaran kini hanya berbaki satu peratus dan dijangka selesai hujung tahun ini, jika semua berjalan lancar, kita yakin kerja-kerja pembinaan kembali mengikut jadual,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau projek Swing Bridge (jambatan ayun) bernilai RM100 juta yang menjadi salah satu binaan ikonik dalam PLBE dekat Jambatan Sungai Perai dekat sini hari ini.

PLBE menyediakan landasan keretapi termoden sepanjang 329 kilometer yang terbahagi kepada dua jajaran iaitu jajaran utama meliputi Ipoh, Perak dan Butterworth, Pulau Pinang serta jajaran merentasi Kedah.

Projek tersebut adalah kesinambungan landasan berkembar elektrik antara Rawang dan Ipoh yang siap sepenuhnya pada 31 Disember 2007.

Cho Ha memberitahu, kerja-kerja fizikal pembinaan Swing Bridge yang merupakan salah satu binaan ikonik dalam PLBE, kini mencapai tahap 40 peratus berbanding 30 peratus seperti yang dijadualkan.

Katanya, apabila siap kelak, terdapat ruang kosong 30 meter di kedua-dua hujung jambatan yang boleh dibuka pada satu-satu masa bagi laluan kapal merentasi Sungai Perai.

“Dua lagi binaan ikonik dalam PLBE ialah Terowong Larut (0.3 kilometer) di Air Kuning, Taiping dan Terowong Bukit Berapit, Padang Rengas (2.9 kilometer) di Perak yang sedang dalam proses pembinaan,” jelasnya. -UTUSAN-

 
Total Visitor : 25424