ALOR SETAR 14 Julai – Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar sepanjang 329 kilometer dijangka siap mengikut jadual pada Disember 2013, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Katanya, projek yang merentasi negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu kini berjalan dengan lancar dan semua kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit memberikan kerjasama baik kepada kementerian dan pemaju untuk menjayakannya.
Beliau berkata, ketika ini terdapat 16 kes pengambilan tanah yang belum diselesaikan, termasuk beberapa pemilik kediaman dan bangunan komersial di Pulau Pinang dan Kedah yang tidak setuju dengan jumlah pampasan.
“Projek ini tidak akan tergendala kerana saya yakin masalah ini dapat diselesaikan tidak lama lagi,” kata Cho Ha kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke tapak projek PLBKE di Jalan Telok Wanjah di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan sudah menyelesaikan pembayaran bagi pengambilan 2,692 lot tanah, 2,007 lot rumah dan setinggan serta lebih 1,300 bangunan komersial dan rumah ibadat di keempat-empat negeri itu. – Bernama
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm