Menyelesaikan kebuntuan dengan cara terbaik

tanjongpagar2

LANGKAH merujuk tawaran pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan isu caj pembangunan tiga bidang tanah iaitu di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands yang terkandung dalam Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (ICA) bukanlah satu masalah besar, sebaliknya melegakan Malaysia dan Singapura.

Perkara ini timbul kerana berdasarkan POA yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1990, fasal tentang siapa yang perlu membayar caj pembangunan tidak begitu jelas.

Singapura membuat tafsiran bahawa syarikat yang akan memajukan pembangunan yang perlu membayar caj itu, manakala Malaysia pula berpendapat tiada sebarang kos perlu dibayar.

Walaupun dibawa ke ICA bagi memuktamadkan sama ada syarikat usahasama M-S Pte. Ltd. perlu membayar caj-caj pembangunan atau tidak, ia tidak akan menjejaskan pelaksanaan POA serta inisiatif-inisiatif dua hala yang telah dipersetujui pada 24 Mei lalu.

Demi menjaga kepentingan kedua-dua negara, kita menyambut baik langkah menyelesaikan perbezaan pandangan mengenai caj pembangunan itu secara baik atas semangat persahabatan.

Ia menampakkan keyakinan kepada kedua-dua negara menyelesaikan kebuntuan dengan baik. Kita percaya ia juga satu langkah penambahbaikan POA dari sudut politik dan perniagaan.

Perkara yang boleh menjadi bahan pertikaian pada masa hadapan perlu diselesaikan pada masa sekarang.

Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin sekarang untuk berusaha menjadikan perkara ini betul dari aspek undang-undang dan politik supaya ia mampu bertahan dan boleh diterima oleh rakyat Malaysia dan Singapura pada masa akan datang.

Sekalipun terpaksa membayar caj, projek pembangunan tanah di kawasan itu masih berdaya maju.

Dari segi bisnes, kita tidak perlu mengeluarkan modal kerana tanah KTMB di Tanjung Pagar akan dijadikan modal Malaysia dalam melaksanakan projek pembangunan bersama antara kedua-dua negara.

Di samping itu, kerajaan Singapura akan menyerahkan empat bidang tanah di Marina South dan sebidang lagi di Ophir-Rochor kepada M-S Pte Ltd, sebagai ganti bagi tanah POA.

Begitu juga dengan pengenalan perkhidmatan rel pantas atau sistem transit pantas (RTS) yang menghubungkan Tanjung Puteri, Johor ke Woodlands, Singapura dijangka dapat meringankan beban dan tekanan yang sering menghantui kira-kira 40,000 pekerja Malaysia yang berulang alik menaiki bas untuk bekerja di Singapura.

Kita yakin penyelesaian itu tidak merugikan mana-mana pihak, malah mampu mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Perkara penting ini usah dijadikan isu atau modal politik bagi pihak yang suka menangguk di air keruh.

Sebab itu kita mengharapkan rakyat mendapat maklumat yang jelas dan nyata dengan apa yang diputus dan dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin Malaysia dan Singapura itu.

(Sumber: http://www.utusan.com.my)

 
Total Visitor : 25424