Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my
SEREMBAN 24 Mei – Perkhidmatan komuter yang berakhir di bandar ini akan diperluaskan sehingga ke Rembau selepas kerajaan negeri mendapat maklum balas positif di kalangan rakyat yang mahukan ia dibuat segera.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan mengenai perkara itu sedang diperhalusi dan ia akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk dikaji.
”Kita dapati ramai juga anak negeri ini yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi tinggal di Rembau.
”Ada yang memandu kenderaan sendiri dan berkongsi serta menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan atau meninggalkan kenderaan mereka di Seremban dan menaiki komuter.
”Jadi, kita percaya jika komuter ini dapat diperluaskan sehingga ke Rembau, ia akan meringankan beban mereka,” katanya selepas merasmikan perjalanan koc komuter dari Stesen Keretapi Seremban ke stesen komuter Sungai Gadut dekat sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan.
Mohamad berkata, selepas dua stesen komuter baru dibuka iaitu di Senawang dan Sungai Gadut, ia menyaksikan penduduk sekitar tidak lagi perlu ke Seremban untuk memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur.
”Ini dapat mengurangkan kos dan pada masa yang sama mereka boleh meletakkan kereta di kawasan meletak kenderaan yang luas di dua stesen itu dan terus menaiki komuter ke Kuala Lumpur,” ujar Mohamad.
Tambahnya, dua stesen yang sudah beroperasi itu akan mengurangkan kesesakan di stesen keretapi Seremban, lebih-lebih lagi pada waktu pagi dan lewat petang.
Dalam pada itu, promosi perjalanan percuma melibatkan laluan Seremban ke Sungai Gadut akan dilanjutkan sehingga Selasa depan.
(sumber: www.utusan.com.my)
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm