IPOH 15 Mac – Kerajaan negeri menyifatkan pampasan pengambilalihan tanah berjumlah RM37 juta yang diminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Sepetang, Taiping adalah keterlaluan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pampasan bagi tanah rizab seluas 94.5 hektar itu adalah tidak masuk akal dan amat mendukacitakan kerana kerajaan negeri mahu membantu setinggan di kawasan itu dan bukan untuk tujuan pembangunan.
Beliau berkata, mereka seolah-olah hendak menggugat kerajaan pula dengan meletakkan harga yang keterlaluan.
“Mereka tidak memikirkan kerajaan negeri yang bertungkus lumus untuk membantu rakyat, mereka tidak fikir kerajaan negeri tak mampu untuk membayar kadar tersebut.
“Mereka kena tahu apabila kerajaan memberikan tanah kepada mereka sebelum ini kerajaan tidak kenakan harga ikut pasaran, tetapi apabila kerajaan mahu mengambil tanah itu mereka nak harga ikut pasaran pula,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis makan Tengah Hari Bersama 20 Delegasi pemimpin Islam dari Kemboja di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.
Zambry diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat semalam berkata, kos pindah milik tanah KTMB di Kuala Sepetang, Taiping kepada kerajaan negeri bernilai RM37 juta diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.
Katanya, keputusan tersebut dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan tanah untuk kegunaan kereta api.
Tambah Zambry, kerajaan negeri juga tidak pernah menimbulkan nilai pasaran tanah jika kerajaan persetujuan mahu mengambil tanah untuk tujuan-tujuan pembinaan sekolah, balai polis, kaunter polis dan jabatan-jabatan serta agensi kerajaan pembangunan bagi kepentingan agensi-agensi kerajaan.
“Selama ini saya menggunakan pendekatan berdiplomasi dan perkara yang keterlaluan ini tidak sepatutnya berlaku..
“Ini kerana saya sendiri telah bertemu dengan Tee Keat beberapa kali sebelum keputusan tersebut yang meminta dia fahami masalah yang dihadapi oleh setinggan di sepanjang laluan keretapi yang sudah menduduki tanah di situ sejak berpuluh-puluh tahun,” katanya.
Sehubungan itu, Zambry meminta Tee Keat supaya memahami masalah setinggan di sini dan beliau kena bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.
Sumber: Utusan Online
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm