Pampasan tanah: Perak sedia bincang dengan PAK

zambry1

IPOH 17 Mac – Kerajaan negeri sedia berbincang dengan Perbadanan Aset Keretapi (PAK) bagi menyelesaikan pampasan pengambilalihan tanah rezab kereta api bernilai RM37 juta di Kuala Sepetang, Taiping.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perbincangan itu perlu kerana ia boleh diselesaikan secara rundingan.

“Saya masih mengharapkan pendekatan perbincangan perlu diadakan kerana ini adalah urusan antara kerajaan yang boleh diselesaikan.

“Mereka jangan tunjuk keras sangatlah, kalau orang nak berbincang buat cara berbincang kerana ini adalah pendekatan yang terbaik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam menafikan sebarang penglibatan syarikat berkenaan dalam menentukan harga tanah seluas 94.4 hektar di tanah rizabnya di Kuala Sepetang, Perak.

Presidennya, Dr. Aminuddin Adnan berkata, sejak mula dikorporatkan pada 1 Ogos 1992, segala pengurusan aset dan liabiliti telah diambil alih oleh Perbadanan Aset Keretapi (PAK), iaitu salah sebuah badan berkanun yang bernaung di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Ahad lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, kos pindah milik tanah rizab keretapi di Kuala Sepetang, Taiping kepada kerajaan negeri bernilai RM37 juta diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.

Zambry berkata, beliau percaya cara terbaik ialah duduk bincang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang semberono.

“Soal pengambilan tanah adalah urusan kerajaan bagi tujuan pembangunan dan tujuan kegunaan awam.

“Mereka tidak boleh kata Pejabat Peguam Negara yang tentukan harga tanah pasaran tersebut kerana bukan pejabat Peguam Negara yang tentukan,” katanya.

Tambah beliau, apabila kerajaan negeri mahu mengambil semula tanah itu bagi menempatkan keluarga setinggan di situ kenapa kerajaan negeri akan dikenakan harga semasa.

Ini kata Zambry, kerajaan negeri tidak pernah mengenakan harga tanah yang tinggi bagi sebarang pengambilan tanah untuk keperluan rakyat.

“Biasanya cas yang rendah, paling minimum dan kita tak cas tinggi, tetapi apabila dapat kat dia orang dan nak pulangnya semula mereka nak cas dengan harga pasaran semasa,” katanya.

Menurut beliau, tuntutan tersebut bukan jalan terbaik untuk menangani masalah rakyat di kawasan itu.

Sumber: Utusan Online

 
Total Visitor : 25424