Perak tidak akan bayar KTMB – Zambry

kuala sepetang2

LUMUT 9 Julai – Kerajaan negeri memutuskan tidak akan membuat sebarang bayaran kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi tujuan pengambilalihan semula tanah rezab syarikat itu di Kuala Sepetang, Taiping.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah menganugerahkan tanah seluas 94.4 hektar itu untuk kegunaan awam menerusi pembinaan landasan kereta api dari Port Weld (kini dikenali Kuala Sepetang) ke Taiping.

“Kita tidak akan membayar sesen pun kerana Perbadanan Pengurusan Aset KTMB menuntut RM36 juta, padahal kawasan yang dibuka pada hujung abad ke-19 itu bukannya hartanah untuk dijual beli.

“Ia landasan kereta api pertama di Tanah Melayu yang dibuka pada 1885 dan membabitkan hal perundangan yang rumit.

“Kerajaan negeri mempunyai asas yang kukuh kerana tanah ini diberi untuk tujuan kegunaan awam atau landasan kereta api,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Bukit Pertama dekat sini hari ini.

Tahun lalu, Kabinet membenarkan Perbadanan Pengurusan Aset KTMB menjual tanah rezab di Kuala Sepetang itu kepada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, kata Zambry, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dengan nasib penduduk yang tinggal di atas tanah tersebut dan berjanji akan menyelesaikan segera masalah itu.

Malah, hasrat kerajaan negeri Perak mengambil alih tanah berkenaan untuk dijadikan kawasan penempatan tetap penduduk yang kebanyakannya nelayan mendapat maklum balas positif.

“Mereka (penduduk) sudah tinggal di situ sejak 50 hingga 60 tahun lalu dan kita mahu menjadikan kawasan ini sebagai Rancangan Perumahan Tersusun.

“Kita akan selesaikan isu ini menerusi hubungan baik yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri,” ujar beliau.

Menurut Zambry, kerja-kerja mengukur tanah akan dilakukan sebaik sahaja pihaknya mendapat surat daripada Kerajaan Pusat untuk membenarkan hasrat kerajaan negeri membantu rakyat itu diteruskan.-Utusan-

 
Total Visitor : 25424