Projek landasan elektrik punca banjir – Azizan

banjirkedah2

ALOR SETAR 5 Nov. – Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) di beberapa kawasan dalam daerah ini antara faktor yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan itu sehingga menyebabkan banyak taman perumahan ditenggelami air melibatkan lebih 10,000 penghuninya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu, ini kerana limpahan air akibat banjir tidak dapat mengalir kerana di tapak projek tersebut tidak terdapat saluran air yang besar.

“Selain air yang turun ke sini (Kota Setar) kesan daripada banjir di Kubang Pasu dan Padang Terap, satu faktor lagi ialah pembinaan landasan keretapi berkembar di daerah ini kerana pada tahun 2005 pun berlaku banjir tetapi ia tidak teruk sebegini.

“Banyak taman perumahan dan kawasan di sekitar tapak projek berkenaan ditenggelami air, malah ada taman-taman yang dahulu tidak pernah banjir, kali ini habis tenggelam,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir melibatkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan dan wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Antara kawasan dan taman-taman perumahan yang menerima kesan daripada projek berkenaan ialah Taman Rakyat, Taman PKNK, Taman Uda dan Taman Muhibbah manakala kediaman Azizan sendiri di Jalan Sultanah turut dinaiki air.

Sehubungan itu, kata Azizan, pihak yang terlibat dalam projek tersebut iaitu syarikat MMC-Gamuda JV Sdn. Bhd. (MMC-Gamuda) diminta supaya segera membina saluran yang dapat menyalurkan air ke tempat saliran atau sungai untuk mengatasi banjir di kawasan berkenaan.

“Jika syarikat berkenaan tidak berbuat demikian, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) akan diarahkan membuat saluran air di kawasan berkenaan,” tambah beliau.

Mengulas mengenai banjir di Kedah secara keseluruhannya, Azizan berkata, pihaknya yakin dalam masa lima atau enam hari lagi, keadaan akan pulih seperti biasa sekiranya tidak ada lagi hujan.

“Ia bergantung kepada keadaan, jika masih hujan, mungkin banjir akan berlarutan,” tambah beliau. -UTUSAN-

 
Total Visitor : 25424