IPOH 14 Mac – Kos pindah milik tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Sepetang, Taiping kepada kerajaan negeri bernilai RM37 juta diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, keputusan tersebut dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan tanah untuk kegunaan kereta api.
Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya bersedia untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri Perak dalam usaha menangani masalah pindah milik tanah itu.
“Kementerian sedia berunding untuk mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah ini, tetapi kata putus mengenai pindah milik tanah tersebut bergantung kepada Pejabat Peguam Negara.
“Kalau nak diberi hak milik pun, ada syarat tertentu termasuk syarat untuk alihkan tanah itu hendaklah mengikut kadar pasaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Persatuan Kebajikan Bao En Shi di Ampang dekat sini hari ini.
Pada 30 Januari lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meminta Perbadanan Aset Keretapi (PAK) mempertimbangkan semula kadar RM37 juta untuk melepaskan hak milik tanah rizab kereta api seluas 94.5 hektar antara Taiping ke Kuala Sepetang kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, kadar yang dikenakan oleh PAK untuk menyerahkan tanah yang tidak lagi digunakan bagi menjalankan operasi kereta api sejak 1941 itu adalah terlalu tinggi.
Ini kerana, kata Zambry, kerajaan negeri mahu menggunakan tanah tersebut untuk diberikan kepada penduduk yang telah lama tinggal di kawasan terbabit dan bukannya bertujuan komersial.
Dianggarkan terdapat 643 keluarga setinggan selain 131 unit bangunan kosong dan 12 bangunan rumah ibadat di tanah rezab itu.
Tee Keat berkata, isu tanah diduduki setinggan itu timbul semasa pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang tahun lalu dan pihaknya pernah berbincang dengan Menteri Besar mengenainya.
Terdahulu, beliau menyampaikan peruntukan RM80,000 untuk menjalankan program latihan sukarelawan kepada persatuan itu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kemelut politik MCA, Tee Keat enggan mengulas lebih lanjut.
“Saya datang ke sini mengikut jadual walaupun ada orang kata kempen MCA tengah hangat dan apa yang saya janjikan program ini melibatkan kebajikan masyarakat, saya mesti datang,” katanya.
Sumber : Utusan Online
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm