IPOH 30 Jan — Kerajaan Perak hari ini memohon agar Perbadanan Aset Kereta api (PAK) mempertimbangkan semula kadar RM38 juta bagi melepaskan hak milik tanah rizab kereta api seluas 94.5 hektar antara Taiping ke Kuala Sepetang kepada kerajaan negeri.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri juga memohon PAK, pentadbir tanah terbabit, membuat pertimbangan untuk kemungkinan menyerahkan terus tanah-tanah berkenaan yang tidak lagi digunakan untuk tujuan operasi kereta api sejak 1941, kepada kerajaan negeri tanpa dikenakan apa-apa bayaran.
“Kalau dikenakan caj pun kita akan berbincang dengan mereka, mungkin salah satu caranya melibatkan penggantian tanah tapi saya menganggap caj itu agak tinggi.
” Saya telahpun menyuarakan bahawa ia bukan melibatkan komersial tetapi untuk rakyat yang telahpun tinggal di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat ladang limau Bali di Kampung Rata, Tambun di sini.
Menteri Besar berkata beliau telah menyatakan mengenai perkara itu kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat semalam dan berharap satu jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak dapat disegerakan.
— LAGI ZAMBRY-TANAH 2 (AKHIR) IPOH “Saya fikir ia tidak jadi masalah besar kerana hubungan kerajaan negeri dan persekutuan dalam keadaan yang baik,” katanya sambil menegaskan bahawa pengumuman oleh kerajaan persekutuan mengenai kadar pelepasan tanah itu merupakan langkah pertama dalam menyelesaikan masalah penduduk di kawasan tanah tersebut.
Ong ketika mengumumkan perkara itu di Putrajaya Rabu lepas berkata terdapat 643 unit keluarga setinggan, selain 131 unit bangunan kosong dan 12 unit bangunan rumah ibadat di tanah itu.
Sementara itu, masalah 62 penanam limau Bali di sini yang meneroka tanah kerajaan sejak 60 tahun lepas selesai apabila Zambry mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk memberi tempoh pajakan selama 99 tahun kepada penanam berkenaan meneruskan tanaman limau Bali mereka.
Beliau berkata tempoh pajakan berkuatkuasa sebaik penanam berkenaan menerima kelulusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan menegaskan bahawa kawasan dengan keluasan keseluruhan 46 hektar itu disyaratkan hanya untuk tanaman limau Bali sahaja.
Zambry berkata kesemua penanam limau Bali yang terlibat hanya perlu membayar premium berdasarkan keluasan lot tanah masing-masing tanpa perlu membayar denda menceroboh tanah milik kerajaan negeri.
” Dasar yang ada, mereka yang menduduki tanah kerajaan sebelum ini tanpa kebenaran biasanya akan dikenakan denda tetapi dalam kes mereka, kerajaan bercadang mengecualikan denda tersebut kerana mereka ini penanam yang tulen … bukan ceroboh begitu sahaja,” katanya.
Sumber : Utusan Online
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm