5,951 Petak Kereta Tambahan Di 18 Stesen Komuter, LRT Terpilih

Gambar-Hiasan

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif menambah 5,951 petak tempat kereta lagi di 18 stesen Komuter KTM dan Transit Aliran Ringan (LRT) terpilih dalam usaha menarik lebih ramai menggunakan perkhidmatan awam.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, dengan penambahan itu, hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang pada waktu puncak kepada 25 peratus dapat direalisasikan.

“Sebanyak 7,026 petak kemudahan park ‘n ride yang ada di 100 stesen komuter KTM dan LRT dilihat tidak mencukupi dan perlu ditambah ekoran peningkatan pengguna.

“Kerja-kerja pemindahan yang menelan perbelanjaan RM1 juta di setiap stesen dan paling mahal melibatkan stesen LRT Gombak iaitu RM30 juta, dijangka siap pertengahan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke stesen KTM Komuter Serdang di sini, hari ini.

Antara stesen yang tersenarai adalah Stesen LRT Gombak, LRT Bandar Tasik Selatan, LRT Ampang, LRT Pudu, KTM Komuter Serdang, KTM Seremban dan KTM Komuter Shah Alam.

Tambah Cho Ha, selain kemudahan Park ‘n Ride, kerajaan turut menaik taraf stesen-stesen LRT dan KTM Komuter bagi meningkatkan keselesaan pengguna.

Antara komponen penambahbaikan yang dilakukan, katanya, adalah dengan menyediakan kemudahan tambahan seperti kamera litar tertutup (CCTV), surau dan lif yang bersifat mesra Orang Kurang Upaya (OKU) selain laluan pejalan kaki berbumbung.

“Bagi stesen LRT pula, syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana) sedang menaik taraf 22 stesen dan sehingga kini lima stesen Aliran Ampang telah siap dinaik taraf, sementara 17 stesen lagi dijangka siap menjelang suku tahun pertama tahun depan,” jelasnya.

Ditanya mengenai bayaran di tempat letak kereta yang akan disediakan itu, beliau berkata, pihaknya belum menentukannya tetapi memberi jaminan kadar yang dikenakan adalah berpatutan.

Sumber : Utusan Malaysia

 
Total Visitor : 25425