Kajian Bersama Bina RTS Sudah Bermula

800px-KTM_Komuter_Class_82

PETALING JAYA 5 Okt. – Malaysia dan Singapura telah memulakan kajian bersama mengenai pembinaan sistem transit pantas (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bagi memastikan ia dapat memberi perkhidmatan paling baik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kajian itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan melibatkan semua aspek termasuk lokasi, sistem dan jenis hubungan sama ada menggunakan jambatan atau terowong.

“Pembinaan RTS adalah sebahagian daripada perjanjian yang telah dibuat berhubung pemindahan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar sebelum ini.
“Di Johor Bahru, JB Sentral akan dipilih kerana ia sudah mempunyai kemudahan seperti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan van oleh kerajaan Jepun kepada Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Selangor dan Wilayah Persekutuan (Damai) di sini hari ini.

Cho Ha juga memperuntukan RM10,000 kepada persatuan tersebut atas usaha mereka meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai keselamatan jalan raya dan membantu orang kurang upaya (OKU).

Turut hadir Presiden Persatuan Damai, V. Murugeswaran.

Tambah Cho Ha, cadangan sistem pengangkutan rel itu adalah bagi mengatasi masalah trafik di Tambak Johor yang digunakan oleh kira-kira 10,000 rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu serta 100,000 kenderaan yang bergerak keluar masuk dari kedua-dua negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun, Koichi Ito berkata, geran bantuan tersebut telah diberikan kepada 120 projek di Malaysia sejak 1989 hingga Mac tahun ini melibatkan jumlah RM13.5 juta.

“Rakyat Jepun tidak akan melupakan segala bantuan yang diberikan oleh rakyat Malaysia, terima kasih Malaysia,” jelasnya yang menghargai bantuan rakyat negara ini semasa tsunami di Jepun, Mac lalu.

Sumber : Utusan Malaysia

 
Total Visitor : 25425