Mekah, 20 Okt (Bernama) — Jumlah kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dipinjamkan bertugas dengan Al Mashaer Al Mugaddassah Metro ditambah lebih sekali ganda dari 62 kepada 144 orang tahun ini hasil prestasi baik mereka tahun lalu.
Perunding projek kereta api Metro Mekah itu, Dr Sara Cheung memuji sumbangan kakitangan KTMB yang katanya sangat berpengalaman, kuat bekerja dan bersemangat tinggi. mudah berkomunikasi serta merendah diri.
Selepas kejayaan kerjasama kedua-dua pihak di antara KTMB dengan kumpulan syarikat diterajui China Railway Construction (CRCC) tahun lepas, belian berkata KTMB bersetuju menambah kakitangannya berkhidmat dengan metro yang beroperasi sepenuhnya tahun ini.
“Perkhidmatan metro ini sangat unik kerana ia membawa jumlah penumpang yang begitu ramai dalam masa singkat dengan demikian memerlukan kakitangan pengendali yang sangat berpengalaman,” kata Cheung kepada pasukan media Tabung Haji di majlis tamat latihan kakitangan Metro di Universiti Umm Al Qura di sini Rabu.
Tahun lalu projek berharga US$1.73 bilion (RM5.4 bilion) itu dikenali Metro Mekah hanya sepertiga beroperasi membawa dua juta penumpang, manakala tahun ini dijangka mengangkut kira-kira lima juta penumpang.
Projek sejauh 18.1 km itu dibina oleh kumpulan syarikat dipimpin oleh CRCC mempunyai sembilan stesen bermula dari Arafat berakhir di Jamrat dan beroperasi hanya selama tujuh hari setahun.
Cheung berkata oleh kerana membabitkan jumlah penumpang yang begitu ramai, perhatian bukan sahaja diberi terhadap peralatan dan pengurusan stesen semata-mata tetapi lebih penting terhadap kawalan ke atas orang ramai.
Beliau berharap kerjasama selanjutnya daripada pihak KTMB untuk memberi sokongan terhadap perkhidmatan metro tersebut.
Sementara itu Pengarah Projek Metro Mekah bagi pihak CRCC, Sam Hao berkata cabaran utama ialah dalam mengawal himpunan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan tren terutama sekali mereka yang tidak berpengalaman.
Beliau berkata setiap tahun pengguna perkhidmatan tersebut perlu dididik cara membeli tiket, berbaris menaiki tren dan menjaga keselamatan serta petugas metro hendaklah lebih bersabar.
Sumber: BERNAMA
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm