KTMB terima unit tren elektrik baru
PELABUHAN KLANG 22 Sept. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerima unit pertama tren elektrik enam gerabak yang tiba di Pelabuhan Barat di sini hari ini.
Tren yang dikenali sebagai ‘Six-Car-Set’ atau SCS itu diperolehi KTMB daripada syarikat ZhuZhou Electric Locomotives Co. Ltd. (ZELC) dari China sebagai antara usaha syarikat pengangkutan awam negara itu meningkatkan perkhidmatan tren kepada pengguna.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang menyaksikan ketibaan tren itu berkata, ia sampai ke negara ini kira-kira pukul 2 pagi ini manakala kerja-kerja menurunkannya bermula pukul 8 pagi dan selesai pada pukul 5 petang.
Katanya, tren berkenaan merupakan sebahagian daripada 38 set baru gerabak tren elektrik KTMB hasil peruntukan yang disalurkan kerajaan di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang keenam iaitu menambah baik pengangkutan awam.
“Melalui inisiatif ini, sejumlah RM1.894 bilion telah diperuntukkan untuk membeli 38 set tren elektrik baru yang akan membantu meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan KTM Komuter. Semua 38 set tren SCS ini diterima secara berperingkat dan set-set terakhir dijangka diterima pada Mei depan,” katanya.
Tambah Cho Ha, kesemua set tren yang diterima perlu menjalani ujian operasi dan keselamatan sebelum boleh ditauliahkan sebagai selamat untuk beroperasi yang mana siri ujian akan mengambil masa antara satu hingga dua bulan bagi setiap set.
Jelasnya lagi, set tren elektrik yang tiba di pelabuhan berkenaan seterusnya dibawa ke depot tren di Batu Gajah, Perak untuk menjalani siri ujian tersebut dan dijangka mula beroperasi pada Disember 2012.
Cho Ha optimis dengan adanya tren elektrik baru itu akan membolehkan jadual waktu ketibaan tren dapat dipendekkan dari 30 minit kepada 10 minit.
Last Update : 17 May 2012 @ 12:43 pm