Tanggung Jawab Latih 4,000 Petugas Mecca Metro Cukup Mencabar, Kata Petugas KTMB.

MECCA

Mekah, 20 Okt (Bernama) — Usaha melatih kira-kira 4,000 petugas dari kalangan pemuda Arab dalam bidang pengurusan stesen keretapi metro adalah satu tanggungjawab yang sangat mencabar, kata tenaga pengajar dari Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Musa Abdul Rahman.

Ini kerana katanya,  beliau dan rakan setugas yang lain berdepan dengan pelbagai halangan termasuk bahasa, selain tempoh masa latihan yang terhad.

Beliau dan empat lagi warga KTMB adalah antara 20 tenaga pengajar dari pelbagai negara yang bertanggungjawab  menyediakan 4,000 tenaga kerja untuk bertugas di sembilan stesen Metro Al Mashaer Al Mugaddasseh Southern Line di sini.

Musa berkata walaupun rata-rata pemuda Arab berkenaan tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka tekun belajar dan bekerja keras bagi mempersiapkan diri untuk bekerja menjelang tiba hari wukuf nanti.

Antara yang diajar ialah kaedah mengawal orang ramai, prosedur keselamatan, komunikasi, pengurusan stesen dan juga bahasa Inggeris, katanya ketika ditemui kumpulan media Tabung Haji di majlis graduasi petugas Metro itu, di Universiti Uum Al Qura, di sini pada Rabu malam.

“Kelas biasanya bermula pada sebelah petang dan berlarutan sehingga ke pukul 12 tengah malam atau 1 pagi, dengan tiap satu kelas membabitkan antara 90 dan 100 pelajar, ia memang satu pengalaman yang mencabar namun tetap menyeronokkan,” katanya.

Perkhidmatan yang turut dikenali sebagai Mecca Metro bernilai SR6.5 bilion (USD 1.73 bilion) itu akan beroperasi penuh tahun ini dan dijangka diguna lima juta penumpang, berbanding dua juta tahun lepas ketika beroperasi satu pertiga daripada keupayaannya.

Perkhidmatan sejauh 18.1 kilometer melalui sembilan stesen bermula dari Arafah melalui Muzdalifah dan Mina sebelum berakhir di Jamrat itu ketika ini hanya beroperasi tujuh hari dalam setahun, namun kerajaan Arab Saudi dikatakan merancang untuk memperluaskan lagi perkhidmatannya di masa hadapan.

Musa berkata mereka berlima tiba di sini pada Ogos lepas dan diberi tanggungjawab melatih petugas stesen terbabit membolehkan mereka mendapat sijil yang diperlukan untuk bekerja tugas di stesen Metro berkenaan pada hari wukuf, bulan depan.

Katanya berdasarkan kepada persekitaran semasa yang menyaksikan kerajaan Arab Saudi cukup berminat untuk meluaskan operasi trennya, beliau melihat banyak peluang untuk KTMB untuk terus membabitkan diri dalam operasi tren di Mekah pada masa hadapan.

Beliau berkata walaupun keretapi itu beroperasi hanya tujuh hari setahun, ia memerlukan kepakaran pengendalian paling sempurna memandangkan ia membabitkan jumlah penumpang yang teramat ramai, dalam tempoh yang cukup terhad.

Musa berkata dari segi kerja, pemaju projek, China Railway Construction Corp (CRCC) dilihat amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh petugas dari Malaysia, apabila tahun ini jumlah petugas  KTMB ditingkatkan kepada 144 orang berbanding hanya 62 tahun lepas.

Terdahulu pada sebelah petang kumpulan media bersama Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman dan beberapa pegawai Tabung Haji dibawa menaiki tren itu untuk meninjau perkhidmatannya.

Pengurus stesen Mohammad Burhanuddin Ismail dari KTMB dalam taklimatnya kepada kumpulan itu, berkata KTMB amat berbangga diberi kepercayaan untuk menunjukkan kepakaran mereka dalam pengurusan stesen keretapi di tanah suci.

Beliau berkata kepercayaan CRCC terhadap keupayaan petugas KTMB terserlah apabila jumlah petugas yang diberi kepercayaan untuk bertugas di sini pada tahun ini digandakan, sedangkan ada petugas dari negara lain ditamatkan kontrak.

Katanya perjalanan sejauh 18.5 kilometer melalui sembilan stesen itu mengambil masa kira-kira 18 minit.

Sumber: BERNAMA

 
Total Visitor : 25426