Profil PAK
Perbadanan Aset Keretapi (PAK) merupakan sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang diwujudkan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan Malaysia. Ditubuhkan di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463), berkuatkuasa pada 1hb. Ogos 1992, melalui Jilid 36 No.16 yang diwartakan pada 30hb Julai 1992.
PAK mula beroperasi secara rasmi sebagai sebuah organisasi pada 1hb. Oktober 1992. Serentak dengan penubuhan PAK itu operasi perkhidmatan keretapi telah dikorporatkan dan Keretapi Tanah Melayu, sebuah entiti awam yang telah wujud semenjak tahun 1894 telah dibubarkan serta dijadikan syarikat korporat yang dinamakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Pada masa yang sama, bagi mengawal selia perkhidmatan keretapi yang dijalankan oleh KTMB ini, Jabatan Keretapi turut ditubuhkan bagi memastikan perkhidmatan keretapi sentiasa berada di tahap yang selamat dan operator yang menyediakan perkhidmatan keretapi merupakan operator yang berlesen dan berkeupayaan.
Dengan pengkorporatan operasi perkeretapian ini maka tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada PAK adalah seperti berikut:
- Meletakkan pengurusan aset dan tanggungan liabiliti Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu (KTM) sebelum 1hb. Ogos 1992 kepada PAK supaya syarikat pengganti iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bebas daripada tanggungan hutang dan kos-kos bukan operasi yang membebankan;
- Melaksanakan tanggungjawab memaju dan memajukan semula infrastruktur keretapi supaya syarikat pengganti iaitu KTMB dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna-pengguna perkhidmatan keretapi di negara ini; dan
- Membiayai pembangunan infrastruktur keretapi yang telah dipertanggungjawabkan melalui sumber-sumber yang diperolehi daripada aktiviti-aktiviti penyewaan dan pajakan tanah-tanah keretapi serta peruntukan dari Kerajaan.
PENERAJU PAK
PAK diterajui oleh tujuh (7) orang Ahli Lembaga Pengarah bukan eksekutif yang terdiri daripada wakil-wakil pelbagai Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan. Seksyen 89(2) Akta Keretapi 1991, Akta 463 mensyaratkan anggota-anggota yang dilantik oleh Menteri adalah seperti berikut;
- seorang wakil Kementerian Pengangkutan;
- seorang wakil Perbendaharaan;
- seorang wakil Unit Perancang Ekonomi;
- Pesuruhjaya Tanah Persekutuan;
- Pengurus Aset Keretapi hendaklah menjadi anggota ex-officio; dan tidak lebih daripada dua orang anggota lain.
FUNGSI PERBADANAN ASET KERETAPI (PAK)
Fungsi-fungsi Perbadanan adalah:
- Seksyen 89 (8)
- Untuk mengurus, mentadbir dan menyelenggarakan:-
- Segala harta dan hak Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu di bawah Ordinan Termansuh yang mana kuasa Seksyen 92 adalah terletakhak pada Perbadanan;
- Segala harta yang terletakhak pada, atau dipegang atau diperolehi oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di bawah Ordinan Termansuh menurut kuasa Seksyen 93 adalah terletakhak pada Perbadanan, dan untuk mengurus dan mentadbir segala liabiliti berkenaan dengannya; dan
- Untuk mengusahakan projek-projek bagi pemajuan atau pemajuan semula mana-mana infrastruktur atau kemudahan keretapi; dan
- Untuk menjalankan dan melaksanakan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri di bawah Akta ini
- Seksyen 92 (2)
Segala harta, hak dan liabiliti Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu di bawah Ordinan Termansuh hendaklah, apabila mula berkuatkuasanya Akta ini, terletakhak pada Perbadanan tanpa apa-apa jua pun pemindahhakan, penyerahhakan atau pemindahan dan segala sebutan mengenai “Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu”, “Keretapi Tanah Melayu:, atau “Pengurus Besar, Keretapi Tanah Melayu” berhubungan dengan mana-mana harta dalam apa-apa suratcara, suratikatan. Hakmilik, dokumen atau undang-undang bertulis hendaklah ditafsirkan seolah-olah segala sebutan sedemikian adalah sebutan mengenai “Perbadanan Aset Keretapi”.
- Seksyen 93
Segala harta yang terletakhak pada, dipegang atau diperolehi oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di bawah Ordinan Termansuh hendaklah terletakhak pada Perbadanan di bawah Akta ini tanpa apa-apa jua pun pemindahhakan, penyerahhakan atau pemindahan bagi hakmilik, estet, atau kepentingan yang serupa dan selama pemegangan serupa sebagaimana ia telah terletakhak atau dipegang sebelum sahaja mula berkuatkuasanya Akta ini dan segala sebutan mengenai “Pesuruhjaya Tanah Persekutuan” berhubungan dengan mana-mana harta dalam apa-apa suratcara, suratikatan, hakmilik, dokumen atau undang-undang bertulis hendaklah ditafsirkan seolah-olah segala sebutan sedemikian adalah sebutan mengenai “Perbadanan Aset Keretapi”.