Skip to main content

Kampung Bukit Temiang Terima RM100,000 Menerusi Inisiatif Kampung Angkat MADANI RAC

SEREMBAN, 16 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM100,000 diperuntukkan kepada Kampung Bukit Temiang menerusi Program Kampung Angkat MADANI bagi melaksanakan pelbagai projek penambahbaikan kemudahan komuniti dan infrastruktur setempat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata peruntukan berkenaan merangkumi sumbangan sebanyak RM50,000 daripada Perbadanan Aset Keretapi (RAC), agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan tambahan RM50,000 lagi daripada beliau sendiri selaku Ahli Parlimen Seremban.

Loke berkata dana berkenaan akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKK) bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf prasarana secara berfasa.

"Melalui sesi libat urus bersama-sama penduduk, antara cadangan yang diberi perhatian ialah penambahbaikan balai raya, membaiki bumbung rumah, sistem perparitan serta kemudahan lain yang benar-benar diperlukan oleh komuniti.

"Kita mendengar dulu apa yang diperlukan oleh penduduk setempat sebelum projek dilaksanakan. Jadi, untuk JPKK, selain apa yang dibuat oleh RAC, JPKK boleh terus menggunakan pendekatan gotong-royong ataupun melantik kontraktor tempatan untuk membantu membaiki bumbung dan sebagainya," katanya pada Program Kampung Angkat MADANI RAC di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata Program Kampung Angkat MADANI ialah komitmen berterusan kerajaan bagi memastikan setiap kementerian turun padang dan memahami keperluan masyarakat pada peringkat akar umbi, sekali gus menyelesaikan isu yang dihadapi.

 
Compiled from: