KUALA LUMPUR: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) kini memainkan peranan bukan sahaja sebagai penjaga aset kereta api negara, malah sebagai pengurus dan perancang perniagaan yang menterjemahkan aset berkenaan kepada harta bernilai tinggi.
Menurut kenyataan media RAC, langkah strategik itu dilaksanakan bagi menjana pendapatan berterusan kepada kerajaan menerusi pengurusan aset yang lebih dinamik dan mampan.
Sebagai contoh pendekatan pengaktifan aset fizikal, RAC menganjurkan The Heritage Colours Festival bermula 26 hingga 28 Jun 2026 di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Penganjuran festival itu menjadi usaha konkrit untuk menghidupkan semula kawasan stesen sebagai ruang awam yang inklusif, dinamik dan mesra komuniti.
RAC yang beroperasi sepenuhnya sejak 1992 di bawah Akta Keretapi 1991 memiliki hak terhadap aset kereta api negara, manakala perkhidmatan operasi dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB). Peranan korporat itu mencerminkan potensi besar aset kereta api sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, melangkaui fungsi penjagaan tradisional.
"Perbadanan ini berperanan sebagai pengurus dan perancang perniagaan bagi menjaga dan menterjemah aset-aset kereta api kepada sesuatu harta yang bernilai dan mampu menjana pendapatan berterusan untuk kerajaan," kata kenyataan itu.
Inisiatif Warisan KL yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, rakan strategik swasta, syarikat berkaitan kerajaan serta komuniti bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab warisan, budaya dan kreativiti yang dinamik.