PERBADANAN Aset Keretapi (RAC) memperuntukkan RM50,000 bagi melaksanakan pelbagai projek penambahbaikan di Kampung Bukit Temiang, Seremban menerusi Program Kampung Angkat MADANI.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keutamaan diberikan kepada keperluan yang dikenal pasti sendiri oleh penduduk melalui sesi libat urus.
Menurut Loke, peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf balai raya, membaiki bumbung rumah, sistem perparitan serta kemudahan lain yang benar-benar diperlukan komuniti setempat.
Beliau berkata, pendekatan itu membuktikan kerajaan tidak lagi menentukan projek pembangunan secara berpusat, sebaliknya memberi keutamaan kepada suara rakyat sebelum sesuatu projek dilaksanakan.
“Kerajaan bukan sekadar hadir untuk merasmikan program atau menyampaikan bantuan, sebaliknya memastikan setiap projek dipantau, setiap peruntukan dimanfaatkan sebaik mungkin dan hasilnya benar-benar dirasai rakyat.
“Kita mahu mendengar dahulu apa yang diperlukan oleh penduduk sebelum projek dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan Program Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Santuni MADANI di Kampung Bukit Temiang, hari ini.