____________________________________________________
PERBADANAN ASET KERETAPI
SIARAN AKHBAR
Merujuk kepada laporan akhbar oleh Utusan Malaysia: Kos Pembinaan Melambung 40.6% pada 17 Jun 2014 (Laporan Ketua Audit 2013) dan Urus Aset Keretapi Tidak Memuaskan pada 18 Jun 2014, empat isu berkenaan Perbadanan ini telah dibangkitkan iaitu perolehan alat ganti untuk
Electric Multiple Units (EMU), penyenggaraan, pelupusan bahan lusuh oleh pihak Hidmalayan (M) Sdn Bhd serta pengurusan kuarters dan pengawalan tanah yang tidak teratur.
Mengenai isu denda yang sepatutnya dikenakan kepada CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co. Limited (CSR ZELC) atas kelewatan perolehan alat ganti EMU berjumlah RM1.88 juta tetapi denda yang dikenakan hanya RM435,500, PAK ingin menjelaskan Perbadanan ini masih belum membuat sebarang tuntutan denda lewat terima (LAD) kepada CSR ZELC. Untuk makluman, tuntutan akhir bagi kontrak pembekalan alat ganti tersebut belum dikemukakan oleh CSR ZELC. Pengenaan LAD hanya akan dimuktamadkan apabila bayaran akhir dibuat kepada CSR ZELC. Kontrak ini masih lagi berbaki RM5.025 juta manakala Bon Pelaksanaan berjumlah RM1.005 juta yang dipegang oleh PAK masih sah laku sehingga 30 Disember 2014.
Berhubung isu lanjutan kontrak oleh kontraktor pelupusan, Hidmalayan (M) Sdn Bhd walaupun syarikat itu masih mempunyai tunggakan bayaran kepada PAK sebanyak RM530,461, Perbadanan ini menjelaskan bahawa pelanjutan kontrak pelupusan dengan kontraktor pelupusan terbabit diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 12 April 2013. Bagaimanapun, Hidmalayan (M) Sdn Bhd hanya dibenarkan melaksanakan kerja pelupusan mulai 16 Julai 2013 setelah melunaskan semua bayaran pelupusan yang tertunggak berjumlah RM530,461. Untuk makluman, bagi menambahbaik proses pelupusan dengan syarikat kontraktor terbabit, PAK telah menetapkan bahawa kontraktor tersebut perlu mengemukakan wang pendahuluan berjumlah RM500,000 sebelum pelupusan bahan lusuh dibuat bagi mengelakkan isu tunggakan bayaran.
Menyentuh isu pengawalan tanah yang kurang memuaskan sehingga berlaku pencerobohan untuk tujuan pertanian, penempatan setinggan dan komersial, PAK menjelaskan bahawa satu pasukan bancian telah diwujudkan bagi mengenalpasti setinggan kediaman yang menduduki tanah PAK di seluruh negara. Terkini, program bancian tersebut telah diadakan di negeri Kelantan bermula dari 3 Mac 2014 hingga 16 Mei 2014. PAK juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM258,750 untuk projek pemasangan papan tanda di seluruh Negara bagi mengelakkan pencerobohan.
Bagi penjelasan isu pengurusan kuarters, Perbadanan ini memaklumkan bahawa proses kemas kini data berkaitan kuarters sedang dibuat. Satu pelan tindakan pengurusan kuarters telah disediakan dan telah pun bermula pada April 2014. Pelan ini merangkumi penyediaan bajet, menubuhkan pasukan pelaksana pengurusan kuarters bagi mengemaskini maklumat kuarters, bancian dan penyediaan maklumat akhir. Proses tersebut dijangka selesai pada Disember 2014.
Berhubung isu lot-lot tanah yang belum ditukar milik kepada PAK dan tanah rizab keretapi yang belum diukur dan diwarta, PAK akan melaksanakan tindakan seperti mendapatkan salinan warta daripada Jabatan Arkib Negara, melaksanakan kerja ukur tanah rizab bagi tanah-tanah yang belum diukur dan memohon pewartaan di semua negeri-negeri yang terlibat secara berperingkat dan dijangka selesai pada 2017.
Merujuk kepada kelemahan penyenggaraan rekod aset terutama yang menyentuh isu 18 unit kuarters PAK yang dilupus tetapi tidak dikemaskini dan 31 unit kuarters yang usang dan rosak masih menunjukkan nilai buku bersih antara RM965.00 hingga RM38,600 seperti yang dilaporkan, kelulusan Jawatankuasa Pelupusan telah diperolehi untuk membuat hapuskira terhadap 40 kuarters yang usang, tidak ekonomik dan tidak sesuai dijadikan tempat kediaman. Baki sembilan (9) kuarters telah disusut nilai berikutan nilai sebenar tidak sama seperti nilai semasa kuarters terbabit.
Disediakan oleh:
Perbadanan Aset Keretapi
18 Jun 2014