PASIR MAS, 11 Sept (Bernama) -- Penyambungan semula perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang ke Sungai Golok, Thailand, menjadi antara 'wish list' penduduk setempat menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt ini, yang dilihat mampu menghidupkan kembali ekonomi pekan berkenaan.
Tinjauan Bernama baru-baru ini mendapati penduduk berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan bagi pembinaan semula stesen berkenaan, selain meneruskan usaha mengaktifkan kembali laluan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok, yang pernah menjadi penghubung penting kepada penduduk dan kegiatan perdagangan rentas sempadan.
Penduduk Rantau Panjang, Mohamad Naziz Abdul Zaman, 48, berkata penghentian perkhidmatan kereta api di kawasan itu sebelum ini mengejutkan ramai penduduk memandangkan Rantau Panjang pernah menjadi tumpuan orang ramai, termasuk dengan kehadiran kereta api penumpang dan kargo yang keluar masuk sempadan.
“Stesen kereta api Rantau Panjang itu kini dipenuhi semak samun, manakala bangunannya turut mengalami kerosakan akibat vandalisme.
“Saya rasa pada 2019, stesen baru sahaja dibaik pulih tetapi apabila ia ditamatkan perkhidmatan, memang rasa terkejut. Dahulu kita selalu nampak kereta api penumpang dan kargo keluar masuk sempadan. Apa yang saya tahu, selain koc kargo, memang ada juga koc penumpang,” katanya kepada Bernama.
Mohamad Naziz berharap projek pembinaan stesen kereta api baharu di Rantau Panjang dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027, yang bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat Malaysia dan Thailand, malah berpotensi meningkatkan aktiviti perdagangan serta pelancongan di kawasan sempadan.