KUALA LUMPUR: Kadar sewaan khas bagi rumah ibadat dan sekolah bantuan modal yang menduduki tanah rizab di bawah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) ditetapkan pada RM1 sebulan, berkuat kuasa 1 Okt, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke berkata penyeragaman itu menggantikan kadar sewaan berbeza sebelum ini, sekali gus memberi manfaat kepada 53 penyewa sedia ada membabitkan 49 rumah ibadat dan empat sekolah bantuan modal.
Beliau berkata langkah itu dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) RAC memandangkan rumah ibadat dan sekolah berkenaan bukan institusi yang tidak berorientasikan keuntungan.
“Dulu tiada dasar yang jelas, ataupun dikenakan kadar nominal, tidak mengikut kadar pasaran, ada yang dikenakan RM100, ada RM150. Jadi, sekarang ini kami selaraskan untuk kategori ini sahaja, iaitu rumah ibadat dan juga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Makluman Bayaran Kadar Khas bagi Rumah Ibadat dan Sekolah Bantuan Modal di Menara RAC di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri M. Jana Santhiran.
Loke berkata rasional penetapan kadar RM1 berbanding pemberian secara percuma bertujuan memastikan rumah ibadat dan sekolah terbabit kekal sebagai penyewa yang sah di sisi undang-undang, sekali gus memberikan perlindungan dan kepastian kepada mereka.