Langkau ke kandungan utama

Festival Heritage Colours hidupkan semula Stesen Keretapi Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang menjadi antara mercu tanda bersejarah negara kembali dihidupkan menerusi penganjuran The Heritage Colours Festival selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Festival anjuran Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu bertujuan memperkukuh usaha pemeliharaan dan penghayatan warisan negara melalui pengaktifan semula bangunan ikonik berusia lebih satu abad itu sebagai ruang awam yang inklusif, dinamik dan mesra komuniti.

Penganjuran Jelajah Warisan KL merupakan program libat urus yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi meninjau kemajuan usaha pemuliharaan dan pengaktifan kawasan warisan sekitar stesen berkenaan.

Program siri kedua selepas penganjuran di Stadium Merdeka itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Turut diserikan dengan kehadiran wakil pengurusan kanan RAC, Sekretariat Warisan KL, Jabatan Warisan Negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Think City serta komuniti setempat.

Peserta turut dibawa mengikuti lawatan berpandu yang mengetengahkan sejarah dan seni bina Stesen Keretapi Kuala Lumpur, selain melihat sendiri kerja-kerja pemulihan fasad yang telah disiapkan serta perancangan RAC menjadikan lokasi itu sebagai destinasi bandar yang lebih berdaya tarikan.

 
Compiled from: