Langkau ke kandungan utama

Heritage Colours Festival hidupkan semula Stesen Keretapi Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Stesen bersejarah Stesen Keretapi Kuala Lumpur kembali menjadi tumpuan apabila Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menganjurkan The Heritage Colours Festival, sebuah program tiga hari yang mengangkat keindahan warisan, seni bina dan budaya negara.

Festival yang berlangsung dari 26 hingga 28 Jun, jam 10 pagi hingga 6 petang itu menyasarkan usaha menghidupkan semula ruang ikonik tersebut sebagai pusat aktiviti komuniti, seni dan pelancongan warisan di ibu kota.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung termasuk persembahan kebudayaan, jualan vendor tempatan, pertandingan mewarna, permainan tradisional serta aktiviti interaktif seperti batik, anyaman dan tenunan songket. Pengunjung turut berpeluang menyertai sesi perkongsian bersama konservator bangunan warisan yang memberi pendedahan tentang usaha pemeliharaan struktur bersejarah negara.

Program itu turut diserikan dengan Jelajah Warisan Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, bersama wakil daripada RAC, Jabatan Warisan Negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Warisan Negara, Think City serta komuniti setempat.

Menurut Fadlun, penglibatan pelbagai agensi membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda pemuliharaan warisan bandar serta memastikan nilai sejarah Kuala Lumpur terus relevan untuk generasi akan datang.

“Usaha seperti ini bukan sahaja memelihara bangunan warisan, malah menghidupkan semula identiti bandar Kuala Lumpur sebagai sebuah kota bersejarah yang dinamik,” katanya.

 
Compiled from: