KUALA LUMPUR, 7 Oktober –Seramai 53 penyewa tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC), membabitkan 49 rumah ibadat dan empat sekolah bantuan modal, kini menikmati kadar sewaan khas hanya RM1 sebulan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kadar berkenaan berkuat kuasa 1 Oktober lepas bagi menyeragamkan kadar sewaan tanah di sepanjang jajaran kereta api, yang sebelum ini berbeza antara RM100 hingga RM150 sebulan.
“Dahulu kita tidak mempunyai satu dasar yang jelas. Ada yang dikenakan kadar nominal yang tidak mengikut kadar pasaran. Ada yang dikenakan RM100 dan ada yang RM150, jadi kadarnya tidak seragam”
“Jadi kita telah mengambil satu keputusan untuk menetapkan satu kadar nominal yang sama kepada semua rumah ibadat dan sekolah di sepanjang jajaran ini, iaitu RM1 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Majlis Penyerahan Surat Makluman Kadar Sewaan Khas di sini, hari ini.
Beliau berkata berkata pelaksanaan kadar khas itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain memberi kemudahan kepada penyewa yang sebelum ini dikenakan kadar berbeza.