PERNYATAAN KELESTARIAN (ESG)
Perbadanan Aset Keretapi komited untuk mengintegrasikan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) dalam operasi dan pengurusan aset sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kelestarian jangka panjang organisasi. Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi pembangunan negara serta amalan terbaik industri pengangkutan rel.
Dari perspektif Alam Sekitar (Environmental), RAC menumpukan kepada pengurusan sumber secara cekap, pengurangan jejak karbon serta pelaksanaan amalan pembangunan hijau dalam projek infrastruktur.
Bagi aspek Sosial (Social), RAC memberi penekanan kepada keselamatan, kesejahteraan pekerja serta impak kepada komuniti setempat.
Dalam aspek Tadbir Urus (Governance), RAC mengamalkan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua urusan.
Moving towards net-zero transport
INISIATIF ROAD TO RAIL
Pada masa ini, lebih daripada 90% pengangkutan kargo domestik dikendalikan melalui jalan raya. Kebergantungan yang tinggi ini menyumbang kepada peningkatan kos logistik, kesesakan lalu lintas, serta pelepasan karbon yang tinggi. Selain itu, terdapat peningkatan signifikan dalam jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat. Sehubungan dengan itu, Railway Assets Corporation (RAC) mengambil langkah strategik dengan menyokong inisiatif "Road to Rail" yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui tiga pendekatan utama:
PENINGKATAN INFRASTRUKTUR
Membangunkan enam terminal hab kargo di lokasi strategik iaitu Pasir Gudang (Johor), Mengkibol (Johor), Pulau Sebang (Melaka), Senawang (Negeri Sembilan), Merapoh (Pahang), dan Stesen Behrang (Perak). Pembangunan hab kargo ini dijangka mampu mengendalikan lebih 400,000 TEU setahun serta mengurangkan kira-kira 700,000 perjalanan (trip) lori di jalan raya.
Kerjasama Awam-Swasta
Menjalin kolaborasi strategik bersama pengendali logistik dan pemain industri bagi mengoptimumkan kos pembinaan fasiliti serta kemudahan industri kargo, sekali gus mengurangkan beban kewangan Kerajaan.
Integrasi Digital
Memastikan setiap hab kargo dilengkapi dengan aplikasi dan teknologi terkini bagi menambah baik sistem penjadualan rel (rail freight scheduling) dan sistem pengesanan (tracking system) yang lebih efisien.
Pelaksanaan inisiatif "Road to Rail" ini bukan sahaja bertujuan menyediakan rangkaian logistik yang lebih cekap, malah berperanan dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mewujudkan ekosistem pengangkutan yang lebih hijau dan selamat bagi negara.
Pemasangan solar panel dan EV
Selaras dengan komitmen untuk menyokong agenda Pelepasan Karbon Sifar Bersih (Net Zero) menjelang tahun 2050, Railway Assets Corporation (RAC) telah menggerakkan inisiatif penggunaan tenaga boleh baharu dan mobiliti rendah karbon melalui dua projek utama:
Pemasangan Panel Solar Fotovoltaik (PV)
RAC sedang giat melaksanakan pemasangan sistem panel solar di bumbung-bumbung stesen kereta api terpilih. Inisiatif ini bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga elektrik, mengurangkan kos operasi stesen, serta meminimumkan jejak karbon (carbon footprint) bangunan stesen secara mampan. RAC telah memasang solar PV di 12 lokasi stesen & depoh kereta api dan dijangka akan beroperasi pada pertengahan tahun 2026. Dengan pemasangan solar panel ini akan dapat menjana penjimatan bil elektrik kira-kira RM338,000 setahun.
Penyediaan Fasiliti Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV)
Bagi menggalakkan ekosistem pengangkutan hijau, RAC turut membangunkan kemudahan Pengecasan EV (EV Charging Stations) di kawasan parkir stesen-stesen utama. Integrasi ini memudahkan pengguna kenderaan elektrik untuk menggunakan pengangkutan rel dengan jaminan bekalan tenaga kenderaan yang mencukupi.
Inisiatif ini bukan sahaja menjana nilai tambah kepada aset sedia ada RAC, malah memperkukuhkan peranan stesen kereta api sebagai Hab Pengangkutan Mampan yang mesra alam dan berteknologi tinggi.
Accelerating Growth and Fostering Social Value.
PEMBINAAN LIF DAN FASILITI OKU DI STESEN-STESEN KERETAPI
Sepanjang tahun 2025, Railway Assets Corporation (RAC) telah mengukuhkan komitmen ESG melalui penyempurnaan 30 projek strategik yang direka khusus untuk memacu mobiliti mampan dan kesejahteraan komuniti.
Pelaksanaan projek ini dipecahkan mengikut impak teras ESG seperti berikut:
Peningkatan Inklusiviti dan Aksesibiliti (Sosial)
Mobiliti Tanpa Halangan
Menyiapkan 6 projek lif penumpang baharu di stesen-stesen utama bagi memastikan kemudahan rel yang mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, dan ibu bapa berkereta sorong.
Infrastruktur Pendidikan & Komuniti
RAC telah mengambil inisiatif untuk membangunkan Laman Rel Mahkota yang menjadi pusat aktiviti komuniti di Kluang. Laman rel Mahkota ini dibangunkan berhampiran koridor landasan keretapi Malaysia dimana telah menjadi tempat tumpuan ramai masyarakat yang ingin beriadah disamping menikmati juadah dari Kluang Rail Coffee.
Selain itu, RAC juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Majlis Perbandaran Port Dickson bagi membangunkan sebuah taman linear yang dinamakan sebagai Council Park yang dapat mengindahkan dan memanfaatkan penduduk setempat dan pelancong-pelancong sebagai kawasan riadah di tengah Bandar Port Dickson.Kesejahteraan Pengguna
Pembangunan 9 projek platform DMU di sektor Pantai Timur bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rel di kawasan luar bandar.
Pemerkasaan Ekosistem Pengangkutan Mampan (Alam Sekitar & Sosial)
Pengurusan Ruang Pintar
Pembangunan 1 projek tempat letak kereta bertingkat di Stesen Rawang serta 5 projek tempat letak kenderaan di sektor jajaran utara bagi menyokong konsep Park & Ride. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya dan pelepasan karbon dengan menggalakkan peralihan mod pengangkutan peribadi kepada pengangkutan rel yang lebih hijau.
Kesemua inisiatif ini bukan sekadar penambahbaikan fizikal, malah merupakan pelaburan sosial RAC dalam menyediakan ekosistem pengangkutan yang selamat, selesa, dan inklusif. Dengan memperkasakan ketersambungan first-and-last mile, RAC terus komited dalam menerajui agenda transformasi rel negara ke arah sasaran Net Zero dan pembangunan komuniti yang berdaya tahan.
PROGRAM KESELAMATAN DAN KESIHATAN
Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap keselamatan di tempat kerja dan tanggungjawab sosial, Railway Assets Corporation (RAC) telah menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) serta melaksanakan program latihan intensif Bantuan Kecemasan CPR & AED.
Inisiatif ini dirangka untuk mencapai objektif strategik berikut:
Peningkatan Kesiapsiagaan Organisasi
Memperkasakan warga RAC dengan kemahiran kritikal bagi memberikan bantuan awal yang tepat dan pantas dalam situasi kecemasan perubatan atau teknikal.
Kecekapan Tindak Balas Pantas
Memastikan intervensi awal dilakukan secara efektif sementara menunggu ketibaan agensi profesional seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa.
Perlindungan Optimum Aset dan Nyawa
Meminimumkan risiko kecederaan dan kerosakan harta benda melalui protokol respons yang sistematik dan teratur.
Pematuhan dan Tadbir Urus (Governance)
Memenuhi keperluan perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) serta sejajar dengan prinsip ESG dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan berdaya tahan.
Melalui latihan ini, RAC bukan sahaja melahirkan warga kerja yang kompeten dalam aspek keselamatan, malah membina keyakinan orang awam terhadap tahap keselamatan di fasiliti rel seliaan RAC, membuktikan komitmen korporat yang menyeluruh terhadap nilai kemanusiaan.
PROGRAM LATIHAN KEPIMPINAN
RAC melalui bahagian sumber manusia telah melancarkan program Leadership & Development untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan dikalangan ketua jabatan dan unit di RAC bagi tahun 2026. RAC memberikan tumpuan serius terhadap pembangunan modal insan di peringkat kepimpinan bagi memastikan hala tuju organisasi sentiasa berpaksikan kecemerlangan dan integriti.
Pembangunan Kepimpinan Strategik
Menerapkan nilai-nilai kepimpinan yang mampan bagi membolehkan pengurusan atasan dan penyeliaan memacu inisiatif serta transformasi digital organisasi dengan lebih berkesan.
Budaya Kerja Berprestasi Tinggi
Melalui latihan kepimpinan yang berterusan, RAC menyasarkan pembentukan barisan pemimpin yang kompeten, beretika, dan mampu membuat keputusan berpandukan data demi kepentingan pemegang taruh serta komuniti.
Kelestarian Bakat (Succession Planning)
Memastikan kesinambungan kepimpinan melalui program mentor dan bimbingan yang sistematik, sekaligus menjamin kestabilan tadbir urus RAC dalam jangka masa panjang.
PROGRAM LATIHAN ESG
Bagi memperkasakan pengetahuan serta memberi pendedahan menyeluruh kepada warga kerja RAC mengenai kepentingan dan pelaksanaan inisiatif Kelestarian Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), Program Latihan [Nama Program] telah dilaksanakan dengan jayanya.
Program ini mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dengan penglibatan sebanyak 90% warga kerja dalam sesi latihan yang dijalankan. Latihan ini bertujuan untuk memastikan seluruh warga kerja mempunyai kefahaman yang selaras serta komitmen tinggi dalam menyokong dan menjayakan setiap inisiatif ESG yang diterajui oleh RAC.
Championing Ethical Excellence.
Sebagai manifestasi kepada kecemerlangan Tadbir Urus (Governance), RAC telah berjaya memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015) pada tahun 2025. Pencapaian ini merupakan mercu tanda penting dalam memastikan setiap rantaian operasi organisasi memenuhi piawaian antarabangsa.
Kepentingan pensijilan ini dalam kerangka ESG RAC merangkumi:
Pemangkin Kelestarian Organisasi Berperanan sebagai pemacu utama dalam memperkasakan amalan tadbir urus terbaik (Good Governance), sekali gus menyokong pencapaian objektif strategik RAC secara menyeluruh dan mampan.
Sistem Penyampaian yang Telus & Konsisten : Menyediakan kerangka kerja yang teguh bagi menjamin penyampaian perkhidmatan yang efisien, berintegriti, dan memenuhi ekspektasi pemegang taruh secara berterusan.
Mekanisme Kawalan Dalaman yang Mantap : Memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme kawalan dalaman bagi meminimumkan risiko operasi serta memastikan ketepatan dalam membuat keputusan.
Budaya Penambahbaikan Berterusan : Mengintegrasikan pengurusan aduan yang sistematik dan pematuhan ketat kepada peraturan perundangan, yang menjadi asas kepada budaya kerja profesional dan bertanggungjawab.
Pensijilan ISO 9001:2015 ini membuktikan bahawa RAC tidak hanya fokus kepada pembangunan aset, malah komited dalam membina sebuah organisasi yang berdaya saing, telus, dan mempunyai tadbir urus kelas dunia, selaras dengan prinsip-prinsip utama ESG.